Kata orang, menyusukan bayi antara kaedah menjarakkan kehamilan secara semula jadi yang mudah. Benarkah? Ikuti penerangan Pakar Laktasi, Rita Rahayu.
Kaedah menjarakkan kehamilan menggunakan penyusuan susu ibu dinamakan Lactational Amenorrhea Method (LAM) di mana penyusuan susu ibu sepenuhnya berupaya melambatkan kedatangan haid dan ovulasi secara semula jadi.
Walau bagaimanapun, kaedah ini adalah 98 – 99.5 % efektif, sekiranya semua syarat di bawah dipatuhi:
1.      Haid ibu belum kembali.
2.      Bayi berumur kurang daripada enam bulan.
3.      Bayi menyusu secara eksklusif dengan kerap (siang dan malam).
4.      Bayi tidak mengambil sebarang makanan lain selain daripada susu ibunya selama enam bulan pertama.
Oleh itu, antara tip untuk memastikan keberkesanan keadah LAM ini, anda haruslah:
*Memastikan bayi sentiasa bersama atau berdekatan dengan ibu.
*Menyusu dengan kerap tanpa had (siang dan malam). Untuk pengetahuan, penyusuan di waktu malam sangat penting kerana pada ketika itu hormon prolaktin adalah sangat tinggi. Hormon ini yang melambatkan ovulasi.
*Menggunakan penyusuan sebagai cara untuk memujuk dan menenangkan bayi.
*Menyusu sambil berbaring apabila berehat atau tidur.
*Tidak menggunakan botol atau puting kosong.
Sekiranya haid ibu telah kembali atau bayi berumur lebih daripada enam bulan atau dia sudah diberi makanan tambahan (pada tahap umur ini, bayi seharusnya diperkenalkan dengan makanan tambahan dan tidak menyusu sepenuhnya), ibu dinasihatkan untuk menggunakan kaedah perancang keluarga yang lain.
Ini kerana selepas enam bulan, perlindungan penyusuan susu ibu terhadap kehamilan mula berkurangan.
Sumber Pa&Ma